^_____^

contohi lah saya yang selalu bersekolah :D hahah
Assalamualaikum , saya Nurul Syahirah bt Kamisan dari Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Batu Pahat , Johor. Blog ini dicipta adalah untuk saya berkongsi tentang hak hak kita iaitu rakyat Malaysia sendiri sebagai pengguna di mana kita sering melakukan urusan jual beli tanpa kita ketahui apa hak kita :) Kita juga boleh mengetahui cara cara untuk berjimat cermat dalam apa jua keadaan sama ada ketika berada di rumah , pejabat atau sebagainya :) Jadi di sini lah tempat anda untuk mengetahui hak hak anda sebagai pengguna :)

welcome to my page ♥

Myspace Graphics Myspace Graphics Myspace Graphics

Monday, June 21, 2010

Hak Membeli Rumah (:

Contoh contoh rumah yang terbengkalai


Dalam urusan membeli rumah sering terdapat pelbagai penganiayaan terhadap para pengguna terutamanya kepada mereka yang tidak mengetahui hak-hak pembeli rumah. Misalnya:
  • Agensi yang bertanggungjawab meluluskan sesuatu peringkat projek perumahan lambat membuat keputusan hinggakan harga meningkat.

  • Ada pemaju perumahan yang terkandas atau terbengkalai di setengah jalan.

  • Sijil Kelayakan atau Certificate of Fitness (CF) rumah begitu lewat diperolehi walaupun rumah yang dibina oleh agensi kerajaan telah lama siap.

  • Pemaju rumah mengambil wang deposit dan menyimpannya bertahun-tahun lamanya sedangkan rumah belum diperuntukkan.

  • Terdapat perkara tertentu tidak mengikut spesifikasi, misalnya kes rumah kos rendah yang dibina di dua kawasan berlainan mengenakan harga yang sama iaitu RM22,OOO seunit tetapi dari segi keluasan dan bentuk binaan serta bahan binaan jauh berbeza antara kedua-duanya.

  • Rumah yang pembinaannya tidak sempurna dan menimbulkan berbagai-bagai masalah setelah pengguna tinggal hanya beberapa minggu di dalam rumah tersebut.

  • Terdapat kes pembeli rumah yang membayar secara tunai gagal mendapatkan hak milik rumah daripada pihak bank yang membiayai projek itu kerana pihak pemaju tidak membayar hutang kepada bank tersebut.

RUMAH terbengkalai, faedah pinjaman di bank melambung tinggi dan sikap pemaju lepas tangan antara masalah yang selalu benar menimpa pembeli rumah. Belum lagi ditambah pembeli teraniaya kerana saiz rumah yang dijanjikan tidak tepat, saluran elektrik dan air tidak sempurna malah tidak sampai setahun dinding merekah dan kawasan sekitar dinaiki air.

Rungutan dan keluhan sampai bila-bila tidak akan reda. Tetapi yang peliknya permintaan terhadap rumah tidak pernah berkurangan, dari sehari ke sehari semakin meningkat. Buatlah rumah di kawasan mana sekalipun dan apa juga jenis, sama ada kos rumah rendah, sederhana, kondominium dan banglo, orang berebut-rebut mendapatkannya. Khalayak kini tidak terbeban memperolehi wang kerana masing-masing mempunyai alternatif memiliknya.

Sampai bilakah nasib pembeli yang teraniaya akan terbela dan apakah sebenarnya masalah-masalah yang lazim diluah oleh pembeli dan apa hak-hak pembeli daripada kaca mata Presiden Persatuan Pengguna Malaysia atau FOMCA, Profesor Hamdan Adnan yang menerima aduan 65 peratus masalah perumahan berbanding aduan lain.

"Negara kita mengamalkan sistem jual dahulu sedangkan rumah dan tapak untuk didirikan belum lagi jelas. Memang ada dibina rumah contoh dengan pemandangan yang menarik pembeli tetapi ia tidak mencukupi. Meningkatkan kualiti, rumah hendaklah dibina dahulu kemudian baru boleh dijual. Seperti yang dilakukan di negara Hong Kong, selepas 30 peratus rumah siap baru dikeluarkan borang tawaran pembeli.

"Puncanya daripada sikap sesetengah pemaju yang memerlukan duit wang pendahuluan pembeli guna untuk dibuat modal membina rumah. Pengawalan jual beli rumah tidak terkawal juga antara punca ketaranya masalah ini berleluasa. Lantas, timbul masalah bila rumah yang dijanjikan tidak terletak di kawasan strategik, jauh daripada kemudahan awam dan pengangkutan.

"Lebih teruk apabila rumah lambat siap atau terus terbengkalai. Kalau siap sekalipun timbul pula masalah tidak dapat Sijil Kelayakan atau Certificate of Fitness (CF) daripada Majlis Perbandaran kerana tidak mengikut syarat-syarat yang ditetapkan. Prasarana tidak lengkap seperti air dan elektrik, sebaliknya memerlukan wang lebih untuk menikmatinya," hujahnya.

Katanya lagi, "Di peringkat awal urus niaga lagi pembeli tidak memperolehi maklumat lengkap. Tidak pandai membaca pelan dan memahami bahasa undang-undang yang terdapat dalam perjanjian jual beli. Perkara ini tidak boleh dipandang remeh, kerana pembeli bergantung sepenuhnya kepada perjanjian yang terkandung. Sebab itu penting memahaminya kerana rumah tidak lagi dibina sedangkan bayaran pendahuluan telah pun diambil. Lagipun apa juga masalah yang timbul pada masa akan datang berhubung rapat dengan isi kandungan perjanjian tersebut.

"Masalah kedua mengenai kualiti rumah tidak dapat ditentukan sama ada selamat atau tidak. Sehubungan dengan itu persatuan pengguna pernah memperjuangkan Standard Sale Purchase Agreement atau SSPA iaitu cara mudah membaca pelan atau surat perjanjian antara pembeli, pemaju dan juga bank tempat membuat pinjaman," katanya.

Pengguna juga terperangkap dengan perkhidmatan peguam yang disediakan oleh pemaju. Sepatutnya pembeli berhak memilih tetapi bagi sesetengah pemaju, mereka menetapkan. Timbul masalah bila peguam yang kononnnya dilantik memihak kepada pemaju. Maka jadilah harapkan pagar, pagar makan padi.

Masalah-masalah perumahan terus berlarutan kerana permintaan untuk rumah tidak pernah reda walau harganya melambung. Perkara ini seolah-olah memberi kuasa kepada pemaju bersikap mengetepikan hak-hak pengguna.

Hamdan turut membidas saiz rumah yang berkurang keluasannya selepas siap. Sepatutnya perjanjian dengan pelaksanaan mesti selaras, tetapi berlaku sebaliknya. Pembeli berhak menyeret kes seumpama ini ke mahkamah untuk menuntut ganti rugi.

"Masalah juga timbul bila muncul fasal-fasal tambahan ketika projek sedang dijalankan. Dalam hal ini Kementerian Perumahan mesti mengambil tindakan tegas, mengharamkan fasal yang menyusahkan pembeli.

"Alasan lambat siap daripada masa yang dijanjikan boleh diterima jika masalah bekalan simen kurang atau akibat bencana alam tetapi apa yang berlaku kini rumah terbengkalai kerana pemaju lepas tangan. Sedangkan Akta Pemaju Perumahan menggariskan rumah mesti siap dalam tempoh tidak lebih dua tahun.

"Apabila ditimpa masalah, misalnya berlaku keretakan atau mendapan tanah di kawasan rumah, kita akan menghadap pemaju untuk menuntut keadilan untuk mengurang beban. Langkah tersebut memang betul tetapi dalam hal ini saya tetap menyalahkan pihak yang bertanggungjawab memberi pelepasan membuat rumah kerana mereka yang memberi kelulusan atau sebaliknya," ujarnya terkilan.

BERUK DI HUTAN DISUSUKAN

"Bukan setakat membeli rumah dihurungi masalah, membina rumah juga terpaksa memikul beban. Tidak mudah mendapatkan kelulusan untuk membina rumah di negara ini. Betul, kita mempunyai undang-undang dan prosedur, sebagai penduduk yang bertanggungjawab, kita menurutnya tetapi alangkah kesalnya jika mengambil masa terlalu lama. Sedangkan' pendatang haram' apabila membina rumah tidak tunggu sampai sebulan. Lantas jadilah kita seperti anak di rumah kelaparan, beruk di hutan disusukan.

"Lebih dikesalkan bila semua pihak perlu 'disuap'. Sudahlah air dan elektrik mesti 'berbayar lebih', datang pula bahagian kesihatan, saliran dan perparitan tidak meluluskan keluasan longkang. Begitu begini, akhirnya wang yang entah apa-apa tujuannya menggelongsor keluar. Walau kunci dalam genggaman dan rumah depan mata, duit terus-terusan menjadi perantaraan sedangkan perkara ini boleh dielakkan. Itu antara ungkapan tidak puas hati pembeli dan pengguna yang merana mendapat dan membina rumah.

"Ditambah lagi jika menerima pula arahan membayar lebih kepada pemaju sekitar RM5,000 hingga RM8,000 atas alasan bayaran di peringkat tertentu lambat dijelaskan. Masalah itu antara pemaju dengan bank namun lazimnya pembeli yang telah menerima CF ghairah memasuki rumah, lantas memilih untuk membayar sedangkan pembeli berkuasa mencabar pihak terbabit membuktikan kesahihan, sama ada bayaran tertunggak atau sebaliknya. Jika tidak kenapa pihak pemaju mengenakan denda selepas rumah siap sedangkan mereka boleh memintanya serta-merta semasa dalam pembinaan. Kes sebegini, pemaju boleh seret ke mahkamah tetapi dalam 100 orang hanya tiga yang melakukan.

"Bukan mereka perleceh-lecehkan wang dan sanggup bayar berapa sahaja tetapi kos membayar peguam untuk ke mahkamah lebih mahal daripada yang dituntut. Berapa keratlah yang mampu," bela pegawai Persatuan Pengguna Selangor yang turut mengakui aduan masalah rumah paling banyak diterima.

AKTA PEMBELI RUMAH

"Kami menerima 65 peratus aduan mengenai perumahan berbanding aduan lain seiak mengambil alih tugas di FOMCA. Macam-macam yang diadukan, paling sedih ada kes rumah belum siap, gaji telah lama dipotong. Walaupun kejadian tidak sehebat 10 tahun lalu tetapi masih berlaku hingga ke hari ini.

"Sebenarnya sudah sampai masanya kita mempunyai Akta Pembeli Rumah sendiri. Bunyinya seakan melawak tetapi itu adalah kenyataan yang wajar diambil tindakan secepat mungkin. Yang kita ada sekarang hak-hak pembeli rumah yang terkandung di dalam Peraturan-Peraturan (Kawalan dan Melesen) 1982 di bawah Perjanjian Surat Jual Beli Seragam tetapi tidak kuat menyokong pengguna.

"Memang kita mempunyai akta melindungi pengguna daripada penindasan pemaju rumah. Tahun 1966 kerajaan Malaysia menggubal Akta Pemaju Perumahan (Mengawal dan Melesen) 1966. Akta dikuatkuasakan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia untuk mengawal kegiatan-kegiatan para pemaju dalam industri perumahan di Semenanjung Malaysia.

"Memastikan akta ini lebih berkesan, beberapa pindaan dibuat. Contohnya pada 1970 kaedah-kaedah (Mengawal dan Melesen) Pemaju perumahan 1970 telah diluluskan dan dikuatkuasakan pada 15 Julai 1970. Bagaimanapun memandangkan beberapa peruntukan di dalam akta berkenaan tidak lengkap dan jelas untuk melindungi pembeli, maka satu peraturan baru diluluskan iaitu Peraturan-Peraturan Pemaju Perumahan (Kawalan dan Melesen) 1982 dan dikuatkuasakan pada 1 Jun 1982.

"Tetapi soalnya sekarang, akta tersebut lebih memihak kepada pemaju. Begitu juga dengan Persatuan Pemaju Perumahan, ia lebih cenderung melindungi kepentingan pemaju itu sendiri," kesal Hamdan.

Masalah rumah terus tindih-menindih lebih teruk apabila terlalu banyak agensi terlibat dalam projek pembinaan. Misalnya Majlis Perbandaran di kawasan projek dibina, ia terbahagi kepada bahagian; tanah, kesihatan dan juruteknik. Semuanya itu mengambil "masa" untuk meluluskan banyak perkara.

Selepas rumah siap dibina, timbul pula isu prasarana tidak lengkap yang melambatkan proses rumah diduduki pembeli. Agak pelik bunyinya kerana masalah siasatan sama ada menepati syarat-syarat yang ditetapkan atau sebaliknya patut timbul di awal-awal pembinaan.

BAYARAN TIDAK SERAGAM

"Bayaran pula terbalik dan tidak seragam. Jika rumah kerajaan selepas siap dan arkitek berpuas hati barulah perjanjian ditandatangani. Tetapi projek yang diusahakan oleh pemaju akan dikenakan bayaran sebaik fasa diluluskan dan pembeli mesti membayar peratusan tertentu. Kenapa tidak diseragamkan, bukanlah tindakan seperti itu akan lebih melindungi pemaju?"

Sistem beli rumah kata Hamdan, bayar dahulu dapat tidak tahu bila dan berapa lama, banyak kelemahannya. Apa-apa juga hal yang berbangkit, misalnya ditipu pemaju pembeli yang terperangkap, kerana duit telah berada di dalam tangan mereka (pemaju).

"Katakanlah 10 tahun lamanya rumah terbengkalai kerana pemaju pertama tidak mampu menanggung kos pembinaan. Lantas dijual kepada pemaju lain. Bayangkanlah himpunan faedah pinjaman pembeli terus berjalan dan dibayar kepada bank. Wang kita hangus dan kalau mengadu sekalipun jika pemaju diiktiraf muflis apa lagi hak kita untuk menuntut?" soalnya.

Bunyinya kata beliau seolah-olah pihak kerajaan tidak melindungi pembeli. Benarkah begitu? "Sebenarnya kita kena kaji semula dengan rancangan Akta Pembeli Rumah kerana Akta Pemaju Rumah yang ada sekarang lebih cenderung membantu pemaju dan tertera banyak lagi kelemahannya.

"Kita boleh mengadu kepada Kementerian Perumahan tetapi selalunya mereka tidak 'mengambil kisah' walaupun aduan ini paling banyak diterima. Alasan mereka masalah yang timbul sepatutnya diselesaikan dengan pihak kewangan."

APA PERANAN KEMENTERIAN PERUMAHAN?

"Apabila berlaku permintaan melebihi penawaran. Rumah tidak cukup menyebabkan harganya semakin melambung. Sebab itu apabila timbul masalah rumah, pembeli perlu buat aduan tetapi kepada siapa? Logiknya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan kerana mereka yang menguatkuasakan Akta Pemaju Perumahan. Sebaliknya aduan-aduan tidak membekas dan kes pembeli terpaksa dikendalikan sendiri. Walaupun akta telah dipinda demi kebaikan pembeli namun faedahnya masih kabur."

Melihat kerjasama antara pembeli dengan Kementerian Perumahan seperti ada jurang pemisah antaranya. Apa peranan Kementerian Perumahan sebenarnya?

"Ia berperanan memastikan pemaju perumahan bertanggungdawab. Jika berlaku kecurangan atau pembeli teraniaya, ia boleh diselesaikan tetapi akta yang ada sekarang tidak begitu kuat. Apa juga masalah yang menimpa pembeli terpaksa selesai sendiri.

Akta boleh diubah berdasarkan 'Housing Developing Act' yang ditambah atau dipinda setiap tahun tetapi 'sokongan’ tidak begitu kuat dan permintaan terhadap rumah terlalu tinggi.

HAK PENGGUNA KOSONG

"Hak pengguna dalam pembelian rumah terlalu rendah dan boleh dipinda sesuka hati. Contohnya dalam soal mendapatkan sijil kelayakan atau CF menduduki sesebuah rumah. Elakkan masuk ke rumah tanpa CF kerana ia boleh menjerat leher pembeli. Memang ada pemaju baik hati membenarkan pembeli berbuat begitu tetapi semua itu untuk memboloskan diri lebih mudah jika berlaku masalah di masa akan datang. Katakanlah dibawa ke mahkamah sekalipun, pembeli tidak ada bukti untuk mendakwa mereka.

"Hak atau jaminan terhadap pembeli juga tidak saksama. Kami telah meminta jaminan diberikan selama tiga tahun kepada pembeli dari tarikh rumah diduduki tetapi hanya diluluskan enam bulan. Alasan pemaju kononnnya rumah retak atau timbul masalah di awal pembinaan. Sedangkan kebanyakan aduan dan laporan kerosakan diterima sebaik tempoh jaminan selesai," kesalnya.

Menyentuh soal bencana alam, Hamdan berkata, ia tertakluk kepada perubahan alam semula jadi. Dalam soal ini pembeli boleh berjaga-jaga melalui pembelian insurans. Cuma kebanyakan insurans yang ada hanya menawarkan bencana kebakaran. Sungguh begitu, siasatan lanjut boleh dilakukan apabila kawasan yang sebelum ini aman damai tiba-tiba dinaiki air akibat kecuaian pemaju di awal-awal pembinaan rumah dahulu.

Kawasan riadah seperti taman permainan kanak-kanak turut menjadi hak pembeli. Bagaimanapun jelas beliau kemudahan seumpama ini tidak mampu dinikmati selamanya kerana kawasan tersebut akan diambil oleh pemaju jika dianggap berpotensi dimajukan.

"Kawasan perkuburan pula bukan tanggungjawab pemaju. Peruntukan kawasan perkuburan disediakan oleh kerajaan negeri. Tetapi dengan bertambahnya projek pertambahan bandar baru dan sebagainya, kawasan, perkuburan sepatutnya ditambah dari semasa ke semasa," cadangnya.

Ditanya bilakah Akta Perumahan akan menjadi impian beliau menjawab, lebih elok ditanya kementerian kerana yang sedia ada terlalu kerap diubah dan dipinda, rasanya lebih baik digubal yang baru.

Monday, June 7, 2010

Panduan menggunakan kad kredit (:

Jangan bawa baki bulan ini ke bulan hadapan.
Peraturan pertama yang mesti anda patuhi ialah jangan membawa baki bayaran bulan ini ke bulan berikutnya. Mempunyai baki bayaran lebih daripada sepatutnya. Sesungguhnya, kegagalan mematuhi peraturan ini hanya akan menambahkan beban hutang.

Jadi tanyakan diri anda. Adakah anda seorang yang lazimnya mempunyai baki bulanan atau secara keseluruhan jumlah hutang? jika anda bernasib baik, anda tergolong di dalam kategori kedua dan tidak terperangkap di dalam pembayaran faedah.

Tetapi berlainan pula dengan mereka yang mempunyai baki hutang. Mereka sebenarnya terperangkap di dalam hutang yang semakin meningkat akibat kegagalan membayar.

Baca semua yang terkandung di dalam lampiran atau borang permohonan.
Pastikan anda membaca dan meneliti semua yang terkandung di dalam lampiran atau borang permohonan. Ini penting untuk anda melindungi diri sebagai pengguna. Pastikan anda mendapat penjelasan sewajarnya kepada setiap kemusykilan yang diutarakan. Juga pastikan anda membaca dan meneliti semua bil yang sampai ke tangan anda.

Ini penting kerana anda pastinya tidak mahu terlepas daripada mengetahui sebarang perubahan polisi yang dikenakan ke atas kad kredit anda. Harus diingat, syarikat pengeluar kad kredit mempunyai kebebasan membuat sebarang pindaan dan lazimnya setiap perubahan akan efektif di dalam tempoh waktu yang singkat.

Elakkan denda bayaran lewat.
Pastikan anda membayar hutang di dalam tempoh waktu yang ditetapkan. Kelewatan membayar hanya mengakibatkan anda terjerumus ke dalam hutang yang lebih banyak disebabkan jumlah yang meningkat setiap kali anda gagal melunaskannya.

Pertahankan hak anda sebagai pengguna.
Jika anda mendapati syarikat pengeluar kad kredit gagal berfungsi dengan cekap, maka anda perlu segera membuat aduan. Di dalam persaingan pasaran yang sengit mereka tidak boleh memandang ringan segala aduan yang diterima dan lazimnya, anda akan mendapat layanan sewajarnya.

Jangan tergesa – gesa membuat pilihan
Dewasa ini, amat banyak kad kredit yang ditawarkan di pasaran. Sebagai pengguna bijak, luangkan masa anda mencari kad yang menawarkan pilihan terbaik seperti tiada bayaran tahunan dan kadar faedah yang rendah. Tidak ada gunanya untuk anda terus menggunakan kad kredit yang mengenakan faedah tinggi dan dan mempunyai masa selamat yang singkat. Untuk mengetahui cara memilih kad kredit, sila rujuk siri terdahulu.

Tip tip Jimat Tenaga di Rumah dan di Pejabat (:

Lakukan Audit tenaga di rumah. Ini dapat menjamin sistem pendawaian yang betul di rumah dan pejabat.
  1. Bagi rumah yang mempunyai tanah, tanam pokok-pokok untuk teduhan. Teduhan daripada pokok-pokok dapat mengurangkan kesan pemanasan kepada rumah.
  2. Gunakan kipas siling untuk aliran udara. Pengurangan dalam penggunaan tenaga. Aliran udara semulajadi juga boleh digunakan.
  3. Set kipas pada penghawa dingin kepada “ON” daripada “AUTO”. Pengaliran udara yang sekata dapat mengstabilkan suhu udara dalam bilik.
  4. Adalah penting untuk membeli alat penghawa yang bersaiz betul untuk kegunaan. Unit yang besar akan menggunakan lebih banyak tenaga dan tutup/buka secara kerap.
  5. Setkan suhu penghawa dingin di antara 24°C hingga 26°C, rendah (24°C) semasa cuaca panas dan tinggi (26°C) pada musim hujan. Gunakan aliran udara semulajadi di mana mungkin.
  6. Suhu pemanas air boleh ditetapkan di antara rendah dan sederhana untuk menjimatkan tenaga.
  7. Gunakan penyembur air yang jimat air, air yang kurang bermakna penggunaan tenaga yang kurang.
  8. Perbaiki paip yang bocor, terutamanya jika melibatkan perkakas air panas.
  9. Mandi adalah lebih baik daripada merendam dalam tub mandian. Lebih banyak air panas digunakan lebih banyak pembaziran tenaga.
  10. Peralatan dapur yang kecil membantu mengurangkan penggunaan tenaga. Terdapat peralatan yang mengguna 75% tenaga kurang daripada oven yang besar.
  11. Koil peti sejuk mesti di vakum sekurang-kurangnya 2 kali setahun untuk memastikan kompresor berfungsi dengan baik.
  12. 30% udara sejuk akan terlepas setiap kali pintu peti sejuk di buka. Keadaan yang sama untuk oven.
  13. Jangan melebihi muatan peti sejuk, udara sejuk perlu mengalir dengan bebas untuk memastikan makanan di simpan pada suhu yang betul.
  14. Letakkan peti sejuk supaya pintunya akan tutup secara automatik apabila dibiarkan terbuka. Ini akan mengelakkan pembaziran tenaga.
  15. Magnet pintu peti sejuk mesti diperiksa. Letakkan duit Satu Ringgit dan tutup pintu. Jika duit kertas ini boleh di tarik, anda perlu menukar magnet ini (gasket).
  16. Gunakan kemudahan cuci sendiri oven sejurus selepas memasak, apabila oven masih panas. Ini mengelakkan mesa yang panjang untuk pemanasan semula.
  17. Tutup periuk atau kuali untuk mengurangkan masa memasak, dan letakkan periuk atau kuali mengikut saiz pembakar.
  18. Cuci pakaian dalam muatan penuh. Pastikan aras air di set pada aras yang betul.
  19. Sentiasa gunakan air sejuk untuk mencuci pakaian, air panas hanya perlu digunakan untuk pakaian yang terlalu kotor sahaja.
  20. Elakkan penggunaan pengering pada hari yang cerah, kita dikurniakan dengan cahaya matahari yang banyak. Ultraviolet daripada cahaya matahari membunuh kuman.
  21. Lampu floresen kompak menggunakan 75% tenaga kurang daripada lampu floresen biasa dan mempunyai jangka hayat 10 kali juga. Penukaran kepada lampu ini, menjimatkan tenaga juga.
  22. Tutup lampu dan peralatan elektrik apabila bilik atau kawasan tertentu tidak digunakan.
  23. Bersihkan lampu dengan kerap. Lapisan habuk boleh melitupi sehingga 50% pengeluaran tenaga.
  24. Warna yang cerah memantul lebih banyak cahaya. Merancang perhiasan dalaman rumah dan pejabat boleh membantu penjimatan tenaga.
  25. Keluarkan plug bagi peralatan elektrik yang tidak digunakan. Kebanyakan peralatan ini, terutamanya komputer, TV dan VCR mengambil tenaga elektrik walaupun suisnya telah ditutup.
  26. Jika dinding di rumah atau pejabat tidak di tebat, gunakan perkakas berat seperti rak-rak buku, dan sofa untuk diletakkan sekitar kawasan ini. Ini akan membantu mencegah kemasukan haba daripada luar dan kehilangan kesejukan dari dalam bangunan.
  27. Jika anda keluar dari rumah untuk jangkamasa yang panjang, pastikan untuk menutup semua perkakas elektrik yang boleh di tutup.
  28. Melabur kepada alat yang Cekap Tenaga memang bermanfaat. Terdapat kes-kes di mana, duit yang dijimatkan melalui penjimatan kos tenaga dapat memulangkan kos malbur dalam beberapa tahun.
  29. Sila baca Label Panduan Tenaga dengan betul, pastikan anda membanding alatan yang setara. Penggunaan tenaga mempunyai perbezaan yang besar dalam jenama yang sama. Jangan tertipu dengan jualan murah dan janji daripada promoter.
  30. Beli peralatan yang sesuai untuk keluarga adalah penting. Pembelian yang lampau akan menyebabkan pembaziran wang dan juga penggunaan tenaga.
  31. Jika peralatan elektrik melebihi 10 – 15 tahun, praktikkan penukaran semula kepada peralatan baru yang cekap tenaga.
  32. Pastikan logo “EnergyStar" ada pada peralatan cekap tenaga. Ini menunjukkan persijilan daripada pihak-pihak kerajaan atau pensijilan menbuktikan peralatan ini menggunakan tenaga elektrik secara cekap.
  33. Jangan lupa untuk bertanyakan tentang jaminan, maklumat servis, penghantaran, dan kos pemasangan.
  34. Pastikan anda memilih penjual yang bereputasi dan perpengalaman. Penjual yang baik boleh membantu anda untuk mengira pejimatan tenaga dan jangkamasa pulangan. Pada masa yang sama dapat memberikan pilihan yang banyak.
  35. Pastikan anda sedar akan hak anda untk mendapatkan pengetahuan tentang produk. Peralatan yang rosak patut diganti (pastikan kad jaminan di simpan).
  36. Dalam mempraktikkan hak anda, jika pemborong atau penjual gagal untuk memberikan tuntutan anda, sila laporkan kepada Pusat Aduan Pengguna Nasional (NCCC).
Di sini saya ingin menunjukkan 1 video tentang cara cara untuk menjimatkan tenaga di rumah dan di pejabat :)



Cara cara menjimatkan air (:

Air atau kekurangannya telah menjadi isu yang penting di Malaysia kebelakangan ini. El Nino yang berlaku pada 1997/98 telah menunjukkan kekurangannya sumber air. Beratus ribu penduduk di Kuala Lumpur, Petaling Jaya dan kawasan lain Selangor, Balik Pulau di Pulau Pinang, Melaka dan Negeri Sembilan telah hidup dalam sengsara pemotongan bekalan air dan catuan air.
  • TANDAS
    1. Gunakan tandas yang mempunyai keupayaan curahan yang rendah (contohnya memilih sistem curahan yang berkeupayaan sebanyak 6 liter atau kurang) atau letakkan sebotol air ke dalam tangki curahan untuk mengurangkan air yang dicurah.
    2. Kurangkan kekerapan curahan dalam sehari.
    3. Sentiasa melakaukan pemeriksaan untuk mengenal pasti sebarang kebocoran. Masukkan pewarna ke dalam tangki curahan dan memeriksa sekiranya terdapat air berwarna yang meleleh keluar ketika dan selepas curahan.
  • BILIK MANDI
    4. Kurangkan masa mandian dan gunakan pancuran mandian bertekanan rendah.
    5. Letakkan sebuah baldi berhampiran dengan pancuran ketika mandi untuk mengumpul air yang berlebihan. Air ini boleh digunakan untuk mencurah tandas atau menyiram taman.
    6. Tutup pancuran mandian ketika bersabun.
  • SINKI
    7. Jangan biarkan air mengalir ketika mencuci muka, menggosok gigi atau bercukur. Cara terbaik ialah menggunakan air di dalam bekas.
    8. Baiki sebarang paip yang bocor atau yang sentiasa menitiskan air.
  • TAMAN
    9. Siram taman dan pokok bunga ketika senja atau awal pagi untuk mengelakkan kehilangan air melalui penyejatan akibat daripada kepanasan.
    10. Jangan menyiram pokok bunga secara berlebihan dan elakkan penyiraman ketika musim hujan.
    11. Ubahsuai pemercik di taman supaya kadar air yang digunakan tidak berlebihan. Jika kawasan taman yang kecil, gunakan baldi atau salur getah.
    12. Sentiasa memeriksa dan mengubah suai pemercik mengikut cuaca.
    13. Elakkan penggunaan baja yang berlebihan dan gunakan baja nitrogen berasaskan air.
    14. Pilih landskap taman yang tidak memerlukan air yang banyak.
    15. Pastikan ketinggian rumput di taman lebih kurang 6 sm kerana rumput yang sederhana panjang dapat menyimpan air dengan lebih berkesan.
    16. Gunakan penyapu untuk membersihkan kawasan luar rumah dan tepi rumah serta elakkan daripada menjirus air untuk membersihkan sampah sarap.
    17. Sebaik mungkin gunakan bekas tadahan bagi menyiram taman.
  • DAPUR
    18. Jangan gunakan air yang mengalir untuk mencuci pinggan dan mangkuk, gunakan air yang ditadahkan di dalam sinki.
    19. Pastikan paip ditutup dengan ketat untuk mengelakkan air terus menitis.
    20. Simpan sebotol air di dalam peti sejuk atau gunakan ais jika memerlukan air sejuk
    21. Cuci sayur-sayuran, buah-buahan atau makanan di dalam sinki yang berisi air dan elakkan air mengalir
    22. Pastikan mesin basuh penuh muatan cucian kerana setiap cucian akan menggunakan air yang sama walaupun pakaian hanya sedikit sahaja.
  • GARAJ
    23. Gunakan baldi untuk mencuci kereta dan elakkan penggunaan salur getah.
    24. Elakkan tumpahan minyak kerana minyak memerlukan air yang banyak dan sabun untuk membersihkannya.
  • CARA-CARA MENJIMATKAN AIR LAIN.
    25. Pastikan anda sentiasa menghadiri perjumpaan dan perbincangan mengenai air di kawasan anda.
    26. Sentiasa melakukan pemeriksaan terhadap sistem paip dalaman di rumah untuk mengelakkan sebarang kebocoran.
    27. Maklumkan sebarang kerosakkan paip kepada pihak berkuasa dengan serta merta.
    28. Galakkan aktiviti-aktiviti kesedaran dan penjimatan air di sekolah yang berhampiran kawasan rumah anda.
    29. Bekerjasama dengan pihak kerajaan dalam penjimatan dan pemuliharaan air.
    30. Gunakan air tadahan hujan untuk kegunaan di garaj, di taman dan sekiranya boleh untuk curahan tandas simbah.

Tip Amalan Berjimat Cermat (:

TIP AMALAN BERJIMAT CERMAT

Salah satu cara pengurusan bijak dan kreatif dalam kewangan keluarga ialah dengan berjimat cermat. Sesungguhnya orang yang suka membazir itu adalah saudara syaitan. Berikut adalah beberapa tip untuk berjimat cermat dalam urusan kewangan keluarga untuk dijadikan panduan kita bersama:

Tip 1: Sediakan bajet kewangan keluarga

Ukurlah baju di badan sendiri. Elakkan berbelanja di luar kemampuan. Melalui bajet kewangan, perbelanjaan dapat dikawal. Utamakan yang utama bagi keperluan keluarga.

Tip 2: Merancang kewangan untuk masa depan

Sediakan payung sebelum hujan. Wujudkan simpanan tetap atau tabungan untuk masa depan atau kecemasan. Boleh juga membuat simpanan dalam skim takaful yang memberikan manfaat perlindungan yang tidak kita dapati dengan simpanan biasa. Bagi mereka yang berminat dengan amanah saham, pilihlah yang terbaik untuk membuat pelaburan.

Tip 3: Masak sendiri

Kurangkan makan di kedai. Ini lebih jimat, terutama bagi keluarga yang ramai. Air tangan ibu atau isteri akan mengikat kasih sayang antara keluarga serta lebih terjaga kebersihannya. Secara tak langsung keluarga yang sihat akan mengurangkan kos perubatan yang tidak kurang mahalnya.

Tip 4: Bawa bekal ke pejabat atau sekolah

Jangan malu untuk membawa bekal ke pejabat. Malahan anak-anak juga perlu diajar membawa bekal ke sekolah. Dengan cara ini kita dapat berjimat paling kurang RM3 sehari. Duit yang dijimatkan ini boleh dijadikan simpanan untuk masa hadapan dan kecemasan.

Tip 5: Elakkan memandu kenderaan sendiri

Walaupun harga minyak telah turun namun amalan berjimat akan sentiasa menguntungkan kita. Gunakan kenderaan awam seperti bas, komuter atau LRT sebagai alternatif. Atau boleh juga berkongsi kereta dengan rakan sepejabat.

Tip 6: Jimatkan penggunaan air, elektrik dan gas

Keluarga perlu dididik untuk menghargai nikmat ini dan elakkan dari pembaziran. Tutup peralatan elektrik di ruang yang tidak digunakan. Berpada-pada menggunakan pendingin udara, begitu juga air di bilik mandi ketika mandi atau mencuci.

Tip 7: Tanam sendiri sayur-sayuran

Serai, kunyit, daun pandan dan daun kari mudah untuk ditanam. Bagi yang tidak mempunyai tanah dan ruang masih boleh menanamnya di dalam pasu. Begitu juga sayuran seperti sawi, kangkung, cili malahan pisang juga tidak susah untuk ditanam. Mengamalkan cara ini akan dapat menjimatkan perbelanjaan keluarga dari perlu membeli sayur-sayuran yang telah ditanam seterusnya dapat mengisi masa lapang bersama keluarga.

Tip 8: Elakkan membawa anak-anak ketika membeli belah

Ini satu langkah yang baik, kerana kehadiran anak-anak biasanya mendorong kita membeli barang-barang yang tidak sepatutnya dibeli. Seelok-eloknya senaraikan barang-barang yang ingin dibeli terlebih dahulu sebelum keluar membeli belah. Cara ini dapat menjimatkan masa dan juga menggelakkan tabiat boros berbelanja.

Tip 9: Beli secara pukal

Ini jauh lebih murah berbanding jika kita membeli secara sedikit demi sedikit. Begitu juga dengan saiznya. Beli barang-barang sama ada untuk stok seminggu atau sebulan. Ini akan menjimatkan wang dan masa.

Tip 10: Lakukan perbandingan harga dahulu

Amalan ini adalah penting kerana kadang kala terdapat perbezaan harga di antara kedai, lain tempat lain harga walaupun barang yang dijual adalah sama dari segi jenis dan kualitinya. Amalan ini membantu juga untuk berjimat.

Tip 11: Kurangkan pembelian barangan berjenama

Dalam situasi ekonomi yang merosot kini, kita tidak perlu terlalu berkira tentang jenama barangan yang ingin dibeli. Jika barangan tersebut mempunyai kualiti yang baik setanding dengan barangan berjenama, kita sebagai pengguna harus bijak memilihnya.

Diharapkan agar panduan di atas dapat memberikan sedikit sebanyak informasi berguna kepada kita sebagai pengguna dalam menghadapi situasi ekonomi yang tidak menentu kini seterusnya menjadikan kita sebagai pengguna yang bijak.